Categories: Berita

Alicia

Share

KEBELAKANGAN ini, negara dilihat begitu ‘meriah’ dengan penjawat awam didakwa di mahkamah atas pertuduhan rasuah. Namun timbul persoalan tidak banyak pemberi rasuah didakwa di mahkamah, seolah-olah jenayah ini dilakukan sebelah pihak sahaja. Ia menimbulkan persepsi hanya penjawat awam rakus dan tidak berintegriti, manakala pemberi pula dilihat ‘suci’ serta bebas daripada undang-undang.

Soalan (S): Adakah CUEPACS berasa rimas penjawat awam sering dituding jari dalam isu rasuah?

Jawapan (J): Perkhidmatan awam adalah satu sektor pekerjaan yang mempunyai pekerja paling ramai di negara ini mencecah kira-kira 1.6 juta orang. Dengan sumber manusia seramai ini, sudah tentu perkhidmatan awam sentiasa menjadi tumpuan masyarakat terutama mereka yang mahu mendapatkan perkhidmatan kerajaan. Dalam menguruskan sumber manusia seramai ini, sudah tentu ada segelintir melakukan kesalahan, sama ada secara sedar atau tidak. Namun, tidak adil untuk meletakkan kesalahan dilakukan segelintir individu ini kepada seluruh warga perkhidmatan awam. Jumlah mereka dikenakan tindakan tatatertib terlalu sedikit, berbanding kira-kira jumlah jutaan penjawat awam ketika ini.

Hakikat yang tidak diketahui umum, tahap integriti penjawat awam ketika ini semakin bertambah baik, selaras usaha kerajaan meningkatkan kualiti dan mutu perkhidmatan awam. Usaha meningkatkan integriti dan disiplin ini juga disokong sepenuhnya penjawat awam melalui dasar reformasi perkhidmatan awam seperti reformasi institusi dilakukan kerajaan bagi mewujudkan perkhidmatan berkualiti.

S: Kebelakangan ini negara begitu ‘meriah’ dengan isu penjawat awam terbabit rasuah. Apakah ada kaitan dengan agenda reformasi institusi?

J: Perkhidmatan awam dari masa ke masa sememangnya sentiasa melakukan reformasi atau transformasi dalam institusi. Perkara ini suatu keperluan bagi memastikan mutu penyampaian perkhidmatan awam sentiasa berada pada tahap terbaik dan sentiasa relevan dengan kehendak rakyat serta sektor ekonomi. Agenda reformasi ini juga membabitkan elemen semak dan imbang dalam perkhidmatan awam.

Semak dan imbang adalah elemen asas demokrasi berperlembagaan menghalang penggunaan kuasa tanpa batasan, meningkatkan kualiti dan memastikan mekanisme wujud untuk mencegah atau menghukum kelakuan tidak beretika. Menerusi semak dan imbang berkesan sudah tentu penyelewengan serta penyalahgunaan kuasa serta kedudukan dapat dihalang dalam pentadbiran kerajaan.

Walaupun kita berasa dukacita dengan berita tidak baik berkaitan perkhidmatan awam, ia tetap membuktikan elemen semak dan imbang masih berfungsi dengan baik dan ditolak sepenuhnya dalam amalan pekerjaan penjawat awam.

S: Timbul persoalan mengapa hanya penerima rasuah dikenakan tindakan sebaliknya pemberi terus terlepas, apa pandangan CUEPACS?

J: Kesalahan pemberi adalah sama dengan menerima rasuah dan jika disabitkan seseorang itu akan berhadapan hukuman berat termasuk dipenjara dan didenda. Dalam hal membabitkan rasuah dan salah guna kuasa, sudah tentu CUEPACS sama sekali tidak menyokong mana-mana pihak termasuk penjawat awam itu sendiri. Apa yang salah tetap salah dan sewajarnya diberikan hukuman setimpal supaya menjadi pengajaran kepada semua pihak.

Akan tetapi dalam isu ini kita sering kali mendengar hanya penerima rasuah sahaja ditangkap dan didakwa, manakala pihak menawarkan rasuah tidak dikenakan sebarang tindakan. Sedangkan untuk mewujudkan transaksi rasuah itu perlu ada satu pihak yang memberi dan satu pihak lagi yang menerimanya. Malah, ada kes tertentu pemberi rasuah terselamat apabila mereka dijadikan saksi untuk memastikan pendakwaan terhadap penerima rasuah itu dapat diselesaikan.

Kesalahan rasuah tidak akan berlaku jika ia berseorangan tetapi memerlukan pembabitan pihak A, B dan C. A inilah watak penawar atau pemberi rasuah, B adalah orang tengah dan C pula sebagai penerima rasuah. A berjumpa B dan B maklum kepada C, maka berlakulah transaksi rasuah itu. Tetapi dalam kes ini hanya C didakwa, manakala A dan B terlepas sebagai saksi kepada jenayah terbabit.

Jenayah rasuah tidak akan dapat dibanteras sepenuhnya jika agensi penguatkuasaan tidak menumpaskan sumber atau akar umbi kepada punca gejala terbabit. Pemberi rasuah ini akan mencari pelbagai jalan untuk mencari mangsa mereka bagi mendapatkan keuntungan daripada transaksi dilakukan. Jika kita putuskan rantaian pemangsa ini, sudah tentu permasalahan rasuah dapat ditangani dengan lebih berkesan. Jika usaha memburu pemberi rasuah diperhebatkan, CUEPACS yakin masyarakat akan lebih takut terbabit dalam salah laku berkenaan.

S: Mampukah tindakan buang kerja penjawat awam terbukti salah menerima rasuah dapat membendung gejala rasuah agensi awam?

J: Sebenarnya dalam perkhidmatan awam sudah ada peraturan menjadi panduan atau rujukan bagi tujuan tindakan tatatertib sekiranya penjawat awam itu terbabit dalam suatu perkara melanggar undang-undang iaitu Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Seseorang penjawat awam boleh dikenakan tindakan atau hukuman seperti amaran, denda, lucut hak emolumen, tangguh pergerakan gaji, turun gaji, turun pangkat atau buang kerja jika didapati bersalah kerana melanggar mana-mana peruntukan dalam peraturan ditetapkan. Walaupun peraturan ini serta undang-undang sedia ada sudah mengenakan hukuman berat, masih juga terdapat segelintir penjawat awam berani melanggar undang-undang.

Pandangan CUEPACS jelas iaitu faktor dalaman adalah punca utama menyebabkan seseorang itu terbabit dalam pelanggaran peraturan kerana wujudnya peluang, kelemahan peribadi dan tidak berintegriti. Jika kita lihat di luar sana masih ada kes pengedaran dadah berlaku walaupun hukuman dikenakan boleh membawa ke tali gantung. Ia adalah soal dalaman individu terbabit yang hanya melihat kepada keuntungan peribadi tanpa melihat kesan buruk.

S: Kerajaan mempunyai pelbagai garis panduan, pekeliling dan menubuhkan unit integriti di jabatan atau agensi, mengapa kes rasuah tetap berlaku?

J: Faktor dalaman diri individu adalah penyebab utama mendorong kepada seseorang itu terbabit dalam pelanggaran undang-undang kerana wujudnya peluang, kelemahan peribadi dan tidak berintegriti. Dalam hal membabitkan rasuah ini, sudah tentu ada pihak tertentu di luar sana bertindak sebagai pemangsa untuk mencari kelemahan dalam sistem perkhidmatan awam demi kepentingan peribadi. Pemangsa ini akan mencari mangsa mereka dalam kalangan penjawat awam yang boleh mereka manipulasi dan bekerjasama bagi mencari kelemahan dalam sistem perkhidmatan awam.

Sebab itu CUEPACS tekankan punca kepada permasalahan ini iaitu pemberi rasuah perlu ditangani dengan lebih serius. Pemberi rasuah ini akan sentiasa mencari ruang dan kelemahan yang ada untuk mencipta peluang keuntungan. Jangan sasarkan kepada penerima rasuah sahaja sehingga kita sebenarnya memberi peluang kepada pemangsa terus berkeliaran.

S: Bagaimana dengan persepsi sebahagian agensi sensitif seperti kastam, polis dan imigresen sudah membudayakan jenayah, malah ia seolah-olah menjadi satu ‘sistem’?

J: Persepsi rasuah dalam perkhidmatan awam merujuk kepada pandangan atau tanggapan masyarakat terhadap tingkah laku rasuah dalam kalangan penjawat awam. Ia membabitkan keyakinan rasuah adalah lazim, berlaku secara meluas atau menjadi budaya dalam sistem perkhidmatan awam di negara kita.

Namun, jika kita melihat kepada statistik tangkapan dilakukan SPRM pada 2023, ia membabitkan sejumlah 437 penjawat awam, manakala 700 orang daripada masyarakat awam.

Jumlah 437 orang itu hanyalah sekitar 0.02 peratus daripada keseluruhan 1.6 juta penjawat awam. Jumlah 437 orang ditangkap itu tidak lagi dibuktikan bersalah, malah ada dalam kalangan mereka dibebaskan. Maka tidak adil untuk membawa persepsi negatif mana perkhidmatan awam membudayakan amalan jenayah sehingga ia menjadi sistem yang tidak boleh dipisahkan. Sama sekali tidak adil.