KUALA LUMPUR: Syor supaya ketua jabatan tidak dinaikkan pangkat jika berlaku amalan rasuah dalam kalangan kakitangan di bawahnya adalah satu usaha meletakkan satu tanggungjawab kebersamaan di setiap peringkat jawatan bagi menjamin tadbir urus kerajaan yang baik dan berkesan.
CUEPACS berkata, jika syor oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu dilaksanakan kelak, ia akan melahirkan penjawat awam yang sentiasa cakna terhadap tanggungjawab dan amanah yang digalas.
Presidennya, Datuk Adnan Mat, berkata salah laku dalam perkhidmatan awam amat dilarang, justeru tidak wajar untuk pihak yang mempunyai kuasa menyembunyikan pelanggaran tadbir urus hanya semata-mata untuk menjaga nama baik sendiri atau individu tertentu, yang memburukkan lagi keadaan dan tidak menyelesaikan masalah yang berlaku.
“CUEPACS berharap semua penjawat awam tidak kira pelbagai peringkat jawatan melihat langkah ini sebagai sesuatu yang positif, terutama dalam memastikan perkhidmatan awam sentiasa berada di tahap terbaik.
“Penjawat awam harus mempunyai kesedaran untuk membanteras salah laku dengan apa juga cara, termasuk melaporkan perkara itu untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ketika berucap pada Majlis Perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi Jun, pagi tadi, Perdana Menteri mengesyorkan tiada kenaikan pangkat bagi ketua jabatan jika wujud salah laku dan amalan rasuah penjawat awam di bawahnya sehingga tidak dilaporkan.
Perdana Menteri berkata, agak mustahil bagi ketua jabatan atau ketua unit ‘tidak tahu’ atau menutup mata mengenai wujudnya kecurangan dalam pentadbiran masing-masing.
Mengulas lanjut, Adnan berkata, pembaharuan yang mahu dilaksanakan Perdana Menteri itu, bagaimanapun bukan menggambarkan salah laku yang tinggi dalam perkhidmatan awam tetapi sebagai satu usaha transformasi ke arah yang lebih baik.
Beliau berkata, walaupun pendekatan hukuman kepada ketua jabatan itu wajar, namun ia perlu diteliti sebaik mungkin bagi memberi keadilan kepada semua pihak.
“CUEPACS yakin ia hanya membabitkan segelintir kumpulan ketua jabatan yang tidak ambil peduli dengan isu salah guna kuasa dan rasuah dalam kalangan kakitangan mereka.
“Proses semak dan imbang perlu menjadi panduan dan budaya dalam melahirkan amalan tegur menegur serta memberi hukuman kepada mereka yang melakukan kesalahan demi menjaga nama baik perkhidmatan awam keseluruhannya.
“Sebagai seorang pemimpin, perlu ada sifat berani bertindak dan menjauhi perkara yang melanggar etika serta peraturan dalam perkhidmatan awam,” katanya.
Sumber Artikel: Syor tak naik pangkat ketua jabatan letak tanggungjawab kebersamaan – CUEPACS (bharian.com.my)