KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menaruh harapan besar empat cadangan penambahbaikan berkaitan struktur gaji baharu penjawat awam dapat dilaksanakan apabila Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dimuktamadkan kelak.
Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat berkata pihaknya melihat beberapa isu berkaitan penjawat awam terutama gaji minimum, gred, kenaikan gaji tahunan dan tempoh kenaikan pangkat mengambil masa terlalu panjang, mesti diberi tumpuan.
“Dalam hal ini terdapat empat tunjang utama yang CUEPACS kemukakan dalam merangka struktur gaji SSPA baharu iaitu pertama, gaji minimum penjawat awam daripada RM1,200 kepada RM1,800.
“Cadangan ini wajar dipertimbangkan dalam menjamin kehidupan golongan penjawat awam supaya dapat menjalani kehidupan dalam keadaan sedikit selesa selari dengan kenaikan kos sara hidup semasa.
“Kedua, gred perkhidmatan bagi semua skim perkhidmatan awam pula perlu bermula dengan gred 19 sebaik sahaja SSPA ini dimuktamadkan kelak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan keputusan penambahbaikan struktur gaji baharu penjawat awam akan diumumkan pada perhimpunan Hari Pekerja 1 Mei ini.
Ia termasuk komitmen kerajaan untuk meningkatkan kadar pendapatan bersih penjawat awam yang dibuat melalui SSPA.
Perkara itu, katanya, hampir dimuktamadkan dan seterusnya akan diputuskan pada mesyuarat Jemaah Menteri.
Adnan berkata cadangan ketiga CUEPACS adalah mengenai peningkatan kenaikan gaji tahunan baharu, iaitu RM180 yang bermula bagi gred paling rendah.
Katanya, ketika ini, masih ada skim perkhidmatan yang menerima kenaikan gaji tahunan di bawah RM80 dan ia tidak membantu mengatasi bebanan kos sara hidup semasa.
“CUEPACS juga mencadangkan kepada kerajaan supaya mengkaji semula kenaikan pangkat kumpulan pelaksana berasaskan tempoh perkhidmatan (time-based).
“Kami mencadangkan supaya kenaikan pangkat daripada 13 tahun (dikurangkan) kepada 10 tahun untuk kali pertama dan lapan tahun bagi kenaikan kali kedua serta 6 tahun bagi kali ketiga.
“Ketika ini kenaikan pangkat ditetapkan kerajaan bagi kumpulan pelaksana untuk kali pertama ialah selepas 13 tahun berkhidmat manakala kenaikan kedua juga dilaksanakan selepas 13 tahun berikutnya,” katanya.
Adnan berkata penjawat awam terpaksa menunggu sehingga 26 tahun untuk menikmati kenaikan pangkat dan gaji.
Katanya, CUEPACS berharap kerajaan menukar formula daripada ’13-13′ kepada ’10-8-6′ bagi membolehkan penjawat awam kumpulan pelaksana menikmati kenaikan lebih cepat.
Menurutnya, pihaknya turut yakin Perdana Menterisudah membuat pertimbangan sewajarnya bagi kajian SSPA.
“Kerajaan dilihat begitu komited untuk menyelesaikan usaha memuktamadkan kajian SSPA apabila perkembangannya dilihat melebihi daripada tempoh masa ditetapkan sebelum ini.
“CUEPACS juga sudah menyelesaikan sesi libat urus bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi setiap skim perkhidmatan.
“Wakil setiap skim perkhidmatan telah membentangkan segala permintaan yang mahu diketengahkan dalam kajian SSPA terbabit dan menerima maklum balas yang positif daripada JPA,” katanya.